Monday 13 April 2015

MEMBANGUN PERADABAN MELAYU ISLAM

Bismillahirrahmanirrahim
Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum (kepada) bathil sehingga mereka sendiri mengubahnya. Surah al-Ra'd ayat 11.


Pengalaman Bangsa Berdaulat

Sejarah menukilkan peri sikap umat selepas nabi Ibrahim a.s, apabila mereka memilih jalan lain dari ajaran asal kepada kesesatan dan penyelewengan. Kaabah rumah ibadah yang asalnya telah dibangunkan sendiri oleh nabi Ibrahim bersama anaknya nabi Isma’il a.s bertukar menjadi sarang kemunkaran, ma’shiat dan keganasan. Sebahagian mereka yang memegang tampuk pimpinan ketika itu mengambil kesempatan melalui penguasaan terhadap pakar2 mereka dari segenap bidang seni bahasa dan sastera(melalui puisi dan sajak), sejarah budaya, hubungan antara-kaum, hubungan diplomatik antarabangsa dan arkitek2 bekerjasama menggerakkan usaha menjadikan Mekah sebagai tempat mendirikan berhala2 ciptaan mereka disekeliling ka’abah untuk disembah (disamping memonopoli perniagaan) oleh kaum mereka termasuk pengunjung yang datang berziarah dan berniaga. Akibatnya, penduduk Mekah hidup dalam keadaan ditindas dan dizalimi oleh manipulasi, penyangak, penipuan dan korupsi(rasuah) yang dimaharajalelai oleh segolongan yang bathil (bernafsu serakah). Nabi Muhammad s.a.w. utusan Allah s.w.t, memulakan perintah melaksanakan tugas memurnikan ajaran kepada asal sebagaimana sedari awalnya yang diajarkan oleh nabi Ibrahim a.s, membebaskan penyembah2 berhala dari belenggu perhambaan dan mengembalikan penduduk Mekah kepada ketinggian perintah Allah, adab (pendidikan), ilmu, ke‘adilan, hikmah dan kebahagiaan.

Asal Usul Sejarah Islam Di Alam Melayu

Sejarah berulang, peristiwa kali ini menimpa pula keatas daerah kedaulatan kita kepulauan Melayu-Indonesia. Pada awalnya daerah berdaulat ini merupakan satu mercu tanda sebuah Bandar tamadun Islam yang unggul dunia pada abad ke 7M, iaitu pada zaman Nabi Muhammad s.a.w masih hidup. (rujuk Prof. Dr. Wan Hussein Azmi (UKM), Islam di Malaysia: Kedatangan dan Perkembangan Abad 7 - 20M). Apabila dijajah melalui segenap segi kekuatan, masyarakat termasuk kalangan Melayu (termasuk jawa), Cina dan India yang cenderung kepada pengaruh ajaran dan ajakan yang dibawakan dalam misi penjajahan tersebut, membelenggu diri mereka tertawan dalam arus kesesatan, kezaliman, penindasan, perampasan hak yang dilakukan oleh pemimpin2 dari kalangan mereka sendiri, akibat dari ajaran2 dan kesan yang ditinggalkan oleh penjajah.  Merenung gemerlapan keindahan tamadun Islam yang kemilau cahayanya pernah berkisar di daerah2 ini satu ketika dahulu justeru melahirkan rasa insaf kita akan apa yang kini melanda di daerah2 kedaulatan kita. (rujuk Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas (1972), Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu).

Syed Muhammad Naquib Alattas, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1972
Termasuk apa yang sedang menimpa saudara2 kita dari semua sudut pelusuk dunia. (rujuk Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Alatas (ISTAC), dan  Islam and Secularism (1978) dan Risalah Untuk Kaum Muslimin).

Islam and Secularism, 1978

Anjuran dari Perintah Wahyu.

Rencana ‘mengembalikan kemuliaan dan kedaulatan’ kita perlu diusahakan segera tanpa tangguh. Misi ‘menggali khazanah dan memunculkan usaha’ yang pernah dilancarkan oleh pemimpin, ilmuan, cendekiawan, sejarawan, budayawan, seniman termasuk arkitek2 perlu dihalakan kearah satu tujuan yang justeru menjurus kepada pelaksanaan ini seharusnya dizahirkan. Berpandukan kepada proses pembentukan Negara berdaulat di zaman Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang telah kita semua sedia maklum, maka teknik penubuhan itu hendaklah secara tabi‘i merujuk kepada kedudukan bahasa, bangsa dan kebudayaan dalam sesebuah Negara, bukan dengan apa yang pernah dilancarkan oleh seangkatan pemuda umno malaysia dalam misi mereka menggerakkan revolusi mental pada tahun2 70an dan 80an.(rujuk Syed Hussein Alatas, Intelektual Masyarakat Membangun dan Bab 2: Kaum Intelektual dan Fungsinya, mukasurat 23)  Oleh itu, maka titik permulaannya ialah dari bentuk rupa yang sebenarnya kedudukan bangsa dan budaya dalam Negara hari ini yang tentunya berhajat kepada satu usaha yang khusus pengkajian terhadap sejarah terlebih dahulu.

Intelektual Masyarakat Membangun
Berpedomankan ayat 11 dari surah al-Ra’d,  maka saranan untuk kita melangkah berusaha untuk mengembalikan keadaan pada tempatnya sebagaimana asalnya. Saranan dilancarkan menerusi anjuran2 seperti mengiktiraf dari kalangan kita peranan ilmuan yang telah memberikan sumbanganya yang berharga di zaman tersebut .

Demi memulakan usaha ini, antara karya yang dianjurkan perlu diusahakan fahamnya termasuk,1. ‘Aqaid al-Nasafi oleh Nuruddin al-Raniri. [rujuk Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud dan Prof. Dr. Khalif Mu‘ammar, Pusat Pengajian Sains dan Tamadun Islam (Casis, UTM)].2. Hujjat al-Siddiq (Kenyataan yang Benar) oleh Nuruddin al-Raniri.3. Lata’if al-Asrar li Ahl Allah al-Atyar oleh  Nuruddin al-Raniri. [rujuk Dr. Muhammad Zainiy Uthman, Pusat Pengajian Sains dan Tamadun Islam (Casis, UTM)].4. Asrar al-‘Arifin (Rahsia orang2 Bijaksana) oleh Hamzah Fansuri. 5. Insan al-Kamil (Kesempurnaan Insan) oleh Hamzah Fansuri. (Perpustakaan Negara Malaysia)[rujuk Mysticism of Hamzah Fansuri oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas]. 6. Al-Iqtishod fi Al-'itiqad (Dr. Wan Suhaimi Wan Abdullah).

Membangun Sebuah Peradaban

Dengan cara ini panduan yang kita temukan bakal meletakkan kita semula pada kemuliaan insan dan menjunjung tinggi kedaulatan kita sepertimana yang pernah kita kecapi satu masa dahulu dalam masa-masa keagungan Islam di daerah kepulauan Melayu-Indonesia kita ini. Akhirnya memetik satu kenyataan dari buku ‘Minda tertawan’ karangan Raja Ahmad Aminullah menyebut perihal peranan intelektual sebagai berikut;Sepatutnya intelektual yang dikooptasi atau dirangkul harus berusaha untuk membebaskan dirinya daripada apa yang disebut Edward Said sebagai “the poisonous embrace”. Mereka seharusnya melakukan pembaikan dari dalam sistem kerana mereka memiliki jalan tersebut. Tugas inilah yang disebutkan Almarhum Muhammad Natsir sebagai tanggungjawab golongan ulil-albab (istilah yang terdapat dalam al-Quran yang diterjemahkan sebagai orang berakal atau orang-orang yang mempunyai fikiran). Menurut Dr. Ali Shariati pula, intelektual tersohor Farsi abad ke-20, golongan yang disebutnya sebagai rausyanfikir (istilah Farsi yang bermaksud “pemikir yang mencerahkan”) ataupun intelektual harus ke depan dengan berani untuk menentang ketempangan-ketempangan ataupun kekurangan-kekurangan zamannya. Menurutnya “mereka harus mencari cita-cita bersama, menciptakan cinta dan iman yang bernyala dalam jantung masyarakat tradisional yang korup dan beku”. [Raja Ahmad Aminullah, Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa dalam Aku Janji, Janji Aku? Mukasurat 45].


* Artikel ini ditulis bersempena ‘Seminar on Global Issues: Extremism among the Muslims in Contemporary Times: Dimensions and Manifestations’ yang diadakan di Pusat Pengajian Sains dan Tamadun Islam (Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation), Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur pada Sabtu 14 Jun 2014/ 16 Syaaban 1435H.

No comments:

Post a Comment